Saturday, November 22, 2008

CINTA SEJATI


Seorang hamba sahaya bernama Tsauban amat menyayangi dan merindui Nabi Muhammad saw. Sehari tidak berjumpa Nabi, dia rasakan seperti setahun. Kalau boleh dia hendak bersama Nabi setiap masa. Jika tidak bertemu Rasulullah, dia amat berasa sedih, murung dan seringkali menangis. Rasulullah juga demikian terhadap Tsauban. Baginda mengetahui betapa hebatnya kasihsayang Tsauban terhadap dirinya.
Suatu hari Tsauban berjumpa Rasulullah saw. Katanya "Ya Rasulullah, saya sebenarnya tidak sakit, tapi saya sangat sedih jika berpisah dan tidak bertemu denganmu walaupun sekejap. Jika dapat bertemu, barulah hatiku tenang dan bergembira sekali. Apabila memikirkan akhirat, hati saya bertambah cemas, takut-takut tidak dapat bersama denganmu. Kedudukanmu sudah tentu di syurga yang tinggi, manakala saya belum tentu kemungkinan di syurga paling bawah atau paling membimbangkan tidak dimasukkan ke dalam syurga langsung. Ketika itu saya tentu tidak bersua muka denganmu lagi."
Mendengar kata Tsauban, baginda amat terharu. Namun baginda tidak dapat berbuat apa-apa kerana itu urusan Allah. Setelah peristiwa itu, turunlah wahyu kepada Rasulullah saw, bermaksud "Barangsiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka itu nanti akan bersama mereka yang diberi nikmat oleh Allah iaitu para nabi, syuhada, orang-orang soleh dan mereka yang sebaik-baik teman." Mendengarkan jaminan Allah ini, Tsauban menjadi gembira semula.

MORAL & IKTIBAR

Cinta kepada Rasulullah adalah cinta sejati yang berlandaskan keimanan yang tulen
Mencintai Rasul bermakna mencintai Allah
Kita bersama siapa yang kita sayangi. Jika di dunia sayangkan nabi, insyallah kita bersama nabi di akhirat nanti
Hati yang dalam kecintaan terhadap seseorang akan merasa rindu yang teramat sangat jika tidak bertemu
Pasangan sahabat yang berjumpa dan berpisah kerana Allah semata-mata akan mendapat naungan Arasy di hari akhirat kelak
Rasulullah amat mengetahui mana-mana umatnya yang mencintai baginda, meskipun baginda sudah wafat.
Rasulullah memberi syafaat kepada sesiapa di antara umatnya yang mengasihi baginda Sebaik-baik sahabat ialah mereka yang berkawan di atas landasan keagamaan dan semata-mata kerana Allah.

sumber: http://www.geocities.com/Athens/Parthenon/5352/cinta.htm
RESIPI MENJAUHI PENYAKIT

Seorang tabib dihantar oleh penguasa Mesir ke Medinah sebagai menunjukkan tanda persahabatan. Sepanjang dua tahun tabib itu berada di sana, tidak ada seorangpun yang datang untuk mendapatkan rawatan perubatan. Tabib menjadi hairan dan bosan kerana tidak dapat memberikan perkhidmatan apa-apa kepada penduduk Medinah.
Tabib itu berjumpa Nabi Muhammad saw untuk mendapatkan kepastian. Dia bertanya Nabi, "Adakah penduduk sini takut untuk berjumpa tabib?" Nabi menjawab "Tidak! Dengan musuh mereka tidak takut, apatah lagi dengan tabib." Tabib bertanya lagi, "Tapi mengapa sepanjang 2 tahun saya di sini, seorang pun tidak berubat dengan saya?" Nabi menjelaskan "Sebab penduduk Medinah tidak ada yang sakit." Tabib itu kurang mempercayai Nabi dan berkata, "Masakan tidak ada satu orang pun yang sakit." Melihat keraguan tabib itu, Nabi mempersilakan tabib itu menjelajah ke merata pelusuk Medinah untuk membuktikan kebenaran kata-katanya.
Tabib itu beredar dan menjelajah ke pelusuk Medinah. Puas dia mencari pesakit tetapi tidak menjumpai walau seorangpun. Terbuktilah kepadanya kebenaran kata-kata Nabi itu.
Didorong oleh perasaan ingintahu dan kekagumannya, tabib itu sekali lagi berjumpa Nabi saw. lalu berkata, "Benar seperti kata-kata baginda. Apakah petua sehingga semua penduduk Medinah sihat-sihat belaka?" Nabi menerangkan, "Kami adalah satu kaum yang tidak akan makan jika tidak lapar. Dan jika kami makan, kami tidak makan sehingga terlalu kenyang. Itulah petua untuk kesihatan. Yakinilah makanan yang halal dan baik. Makanlah untuk bertaqwa kepada Allah bukan sekadar memuaskan hawa nafsu."

MORAL & IKTIBAR

Petua untuk sihat: Makan ketika lapar. Berhenti sebelum kenyang
Agama Islam suatu agama yang syumul; ia mencakupi bidang jasmani dan rohani
Semua kata-kata Nabi adalah BENAR belaka; tidak boleh mempertikannya.
Berpegang kepada ajaran Nabi membawa keselamatan bukan saja di akhirat malahan di dunia juga.
Bertawakkal kepada Allah menjauhkan diri dari menyerahkan nasib kepada selain Allah
Menyendatkan perut dengan pelbagai makanan yang banyak menyebabkan kesihatan terganggu dan mengurangkan kecerdasan otak dan jiwa.
Sebaliknya mengosongkan perut dengan amalan puasa boleh melahirkan ketajaman otak dan kejernihan jiwa.
Para Nabi dan orang-orang soleh memilih lapar di dunia supaya kenyang di akhirat.


sumber:http://www.geocities.com/Athens/Parthenon/5352/tabib.htm

Thursday, November 6, 2008

TUJUH KEAJAIBAN DUNIA

Sekumpulan pelajar kelas geografi sedang mempelajari “Tujuh Keajaiban Dunia”. Pada awal pembelajaran, mereka diminta untuk menyenaraikan “Tujuh Keajaiban Dunia” yang mereka ketahui.Ramai daripada mereke memberi jawapan:

1. Piramid
2. Taj Mahal
3. Tembok besar China
4. Menara Pisa
5. Kuil Angkor
6. Menara Eiffel
7. Kuil Parthenon

Ketika mengumpulkan jawapan para pelajar, guru tersebut memerhatikan seorang pelajar, seorang gadis yang pendiam, yang belum mengumpulkan jawapannya. Jadi guru tersebut bertanya kepadanya, apakah dia mempunyai masalah?

Gadis itupun menjawab,“Ya. Saya tidak boleh memilih kerana sangat banyak keajaiban di dunia .”Guru berkata, “Baik katakan pada saya apa jawapan kamu, dan mungkin saya boleh membantu memilihnya.” Gadis itu ragu sejenak, kemudian membaca, “Saya fikir, “Tujuh Keajaiban Dunia” adalah,

1. Kebolehan melihat
2. Kebolehan mendengar
3. Kebolehan menyentuh
4. Kebolehan menyayangi

Dia ragu sebentar, dan kemudian melanjutkan,

5. Kebolehan merasakan
6. Boleh Tertawa
7. Dan, boleh mencintai

Kelas tersebut sunyi seketika. Alangkah mudahnya bagi kita untuk melihat kepada eksploitasi manusia dan menyebutnya “keajaiban”.

Sementara kita lihat lagi semua yang Tuhan kurniakan kepada kita, kita menyebutnya sebagai biasa”.ASTAGHFIRULLAH,

Semoga Anda hari ini diingatkan oleh segala hal yang betul-betul ajaib dalam hidup Anda.

Semoga bermanfaat kepada semua. Semoga rakan-rakan sentiasa bersemangat dan selalu BERSYUKUR :)

 
AZ-ZAIN SHAH ALAM