Saturday, November 22, 2008

RESIPI MENJAUHI PENYAKIT

Seorang tabib dihantar oleh penguasa Mesir ke Medinah sebagai menunjukkan tanda persahabatan. Sepanjang dua tahun tabib itu berada di sana, tidak ada seorangpun yang datang untuk mendapatkan rawatan perubatan. Tabib menjadi hairan dan bosan kerana tidak dapat memberikan perkhidmatan apa-apa kepada penduduk Medinah.
Tabib itu berjumpa Nabi Muhammad saw untuk mendapatkan kepastian. Dia bertanya Nabi, "Adakah penduduk sini takut untuk berjumpa tabib?" Nabi menjawab "Tidak! Dengan musuh mereka tidak takut, apatah lagi dengan tabib." Tabib bertanya lagi, "Tapi mengapa sepanjang 2 tahun saya di sini, seorang pun tidak berubat dengan saya?" Nabi menjelaskan "Sebab penduduk Medinah tidak ada yang sakit." Tabib itu kurang mempercayai Nabi dan berkata, "Masakan tidak ada satu orang pun yang sakit." Melihat keraguan tabib itu, Nabi mempersilakan tabib itu menjelajah ke merata pelusuk Medinah untuk membuktikan kebenaran kata-katanya.
Tabib itu beredar dan menjelajah ke pelusuk Medinah. Puas dia mencari pesakit tetapi tidak menjumpai walau seorangpun. Terbuktilah kepadanya kebenaran kata-kata Nabi itu.
Didorong oleh perasaan ingintahu dan kekagumannya, tabib itu sekali lagi berjumpa Nabi saw. lalu berkata, "Benar seperti kata-kata baginda. Apakah petua sehingga semua penduduk Medinah sihat-sihat belaka?" Nabi menerangkan, "Kami adalah satu kaum yang tidak akan makan jika tidak lapar. Dan jika kami makan, kami tidak makan sehingga terlalu kenyang. Itulah petua untuk kesihatan. Yakinilah makanan yang halal dan baik. Makanlah untuk bertaqwa kepada Allah bukan sekadar memuaskan hawa nafsu."

MORAL & IKTIBAR

Petua untuk sihat: Makan ketika lapar. Berhenti sebelum kenyang
Agama Islam suatu agama yang syumul; ia mencakupi bidang jasmani dan rohani
Semua kata-kata Nabi adalah BENAR belaka; tidak boleh mempertikannya.
Berpegang kepada ajaran Nabi membawa keselamatan bukan saja di akhirat malahan di dunia juga.
Bertawakkal kepada Allah menjauhkan diri dari menyerahkan nasib kepada selain Allah
Menyendatkan perut dengan pelbagai makanan yang banyak menyebabkan kesihatan terganggu dan mengurangkan kecerdasan otak dan jiwa.
Sebaliknya mengosongkan perut dengan amalan puasa boleh melahirkan ketajaman otak dan kejernihan jiwa.
Para Nabi dan orang-orang soleh memilih lapar di dunia supaya kenyang di akhirat.


sumber:http://www.geocities.com/Athens/Parthenon/5352/tabib.htm

1 comment:

wirajiwa said...

hisk bagus entry nih.

 
AZ-ZAIN SHAH ALAM